Thursday, July 14, 2011

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KANTA LEKAP (CONTACT LENS)

KANTA LEKAP:RISIKO JANGKITAN DAN KEBUTAAN

KANTA lekap adalah kanta yang dipakai terus pada mata bagi memperbetulkan kecacatan refraksi.
 Terdapat tiga jenis kanta lekap iaitu keras, separa keras dan lembut. Bagi kanta lekap
keras dan separa keras, ia dipisahkan oleh satu lapisan cecair air mata. Kanta lekap
lembut, ia hampir bersentuhan atau melekap pada lapisan epitelium kornea mata.

KEGUNAAN KANTA LEKAP
1.       Menggantikan cermin mata bagi memperbaiki kecacatan dan meningkatkan ketajaman mata.                                      
2.     Perlindung untuk beberapa jenis penyakit kornea.
 3.     Memberi keselesaan kepada pemakai. Bayangkan seorang ahli sukan seperti pemain bola sepak yang terpaksa menggunakan kaca mata. Sukar, bukan?
4.       Untuk tampil bergaya. Penggunaan kanta lekap berwarna untuk yang bermata normal adalah satu trend sekarang dan sekadar `berseronok-seronok'.
            
RISIKO KANTA LEKAP
Kanta lekap berperanan besar dalam membantu memperbaiki penglihatan. Pemakai kanta lekap ini bagaimanapun terdedah kepada pelbagai risiko tersendiri jika penggunaannya tidak dibuat dengan cara yang betul.
 Pada dasarnya, kanta lekap adalah menempelkan benda asing kepada mata. Dengan demikian, ia berpotensi mengganggu keseimbangan mata terutamanya jika tidak dibersih mahu pun ditanggalkan sebagaimana waktu yang telah ditentukan.

1- IRITASI
Risiko utama adalah iritasi (kegatalan). Iritasi disebabkan oleh jangkitan mata dan boleh mengakibatkan kebutaan. Oleh itu tangan harus dicuci bersih semasa memasang kanta lekap agar tiada bakteria dapat masuk sewaktu pemakaian.
Kebanyakkan jangkitan mata berpunca daripada perawatan dan pemeliharaan kanta lekap yang tidak sempurna. Ia juga boleh berpunca daripada tempat penyimpanan kanta lekap yang tidak dibersihkan dan menjadi tempat pembiakkan bakteria. Pemakai kanta lekap perlu memastikan aspek kebersihan  mata dan tangan dan tempat penyimpanannya benar-benar terjaga.

 2 - PENGURANGAN OKSIGEN
Mata memerlukan oksigen. Pada waktu tidur, kadar oksigen pada mata berkurangan sehingga 1/3 dari ketika mata dalam keadaan berjaga pada waktu siang.
Pemakaian kanta lekap pada waktu tidur akan menyebabkan pengurangan oksigen yang ketara dan boleh mengakibatkan lapisan permukaan mata mudah mengalami pembengkakan terutama pada waktu pagi. Pemakai kanta lekap dengan itu disaran menanggalkan kanta sebelum masuk tidur.

3 - MATA MERAH
Kanta lekap boleh menyebabkan lapisan mata mudah tergores dan  teriritasi. Tanda awal ialah  mata menjadi merah.
  Pemakai kanta lekap disaran menanggalkan kanta apabila mata nampak merah. Jika tidak ditanggalkan, mata berpotensi dijangkiti kuman. Jika kuman kebetulan dari jenis yang sangat berjangkit, permukaan selaput mata boleh bertukar putih dalam masa 24 jam.

KOMPLIKASI PEMAKAIAN KANTA LEKAP
1      SUPERFICIAL PUNCTATE KERATITIS (SPK)
Permukaan kornea mata menjadi rosak biasanya disebabkan oleh pemakaian yang kanta yang terlalu ketat sehingga menyebabkan mata kekurangan oksigen (hypoxia), alergi, atau keracunan.
Gejala: Pemakai merasa tidak selesa, menjadi sangat sensitif pada cahaya (photophobia), dan hadirnya bintik-bintik di kornea mata.
Rawatan: Mengurangi atau menghentikan pemakaian kanta lekap.


2        ALAHAN
Radang atau iritasi terjadi kerana mata dimasuki bahan-bahan pembawa alahan seperti debu, serbuk atau makanan ke dalam mata.
Gejala: Rasa gatal, mata menjadi merah dan kelopak mata membengkak. Umumnya, alahan terjadi secara bermusim dan pemakai memang mempunyai sejarah alahan.

Rawatan: Hindari penyebab alahan. Hilangkan bengkak di mata dengan kompresi air dingin. Mengambil ubat  antiradang apabila terjadi keradangan dan alahan boleh diredakan dengan ubat alahan, antihistamines.

3     KERATOCONJUNCTIVITIS SICCA / SINDROM MATA KERING
 Timbulnya bintik (keratitis) kronik pada kornea bawah. Komplikasi ini disebabkan oleh perembesan air mata pemakai yang tidak mencukupi.
Gejala: Mata rasa seperti terbakar, air mata sering keluar dan cairan di mata berlebihan.
Rawatan: Suplemen air mata atau menggantikan kanta. Sekiranya tidak berhasil, hentikan pemakaiannya.

4      KORNEAL EDEMA
Cairan dalam kornea menjadi berlebihan sehingga menimbulkan stres pada kornea, biasanya disebabkan oleh mata kekurangan oksigen.
Gejala: Photophobia, penglihatan menjadi kelam, mata merah dan tidak selesa semasa kanta lekap ditanggalkan. Pembuluh darah kelihatan lebih jelas dan timbul superficial punctate keratitis.
Rawatan: Menambah oksigen pada mata. Kurangkan atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

5       INFILTRATES
Keradangan pada jaringan mata disebabkan oleh kanta lekap yang kurang bersih, oksigen yang kurang, tindak balas alahan hingga menimbulkan jangkitan.
Gejala: Biasanya, ia kelihatan seperti sekelompok sel berwarna putih. Penglihatan berkurang, mata merah, photophobia dan timbul bintik putih di mata.
Rawatan: Komplikasi ini diatasi dengan menghindari pemakaian kanta lekap, kerap menggantikan kanta lekap, mengambil antibiotik/steroid dan memberikan penekanan terhadap cara pembersihan kanta lekap.

6   JANGKITAN
Jangkitan terjadi akibat kontaminasi organisme berbahaya ke dalam mata seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus.
Gejala: Mata menjadi merah, kelopak mata melekap, air mata meleleh, kurang penglihatan dan bintik pada kornea.
Rawatan: Menjaram dengan air dingin, menggunakan air mata buatan, dan terapi antibiotik, jika perlu.

7      MICROBIAL KERATITIS
Microbial keratitis terjadi apabila organisme berbahaya seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus masuk ke dalam kornea mata hingga mengakibatkan pembengkakkan.
Gejala: Sakit pada mata, photophobia, air mata berlebihan, mata merah, dan penglihatan berkurang. Jika sudah parah, mata mengeluarkan nanah.
Rawatan: Terapi antibiotik, penggantian kanta lekap.

8              VASKULARISASI KORNEA
Vaskularisasi kornea adalah pembentukan pembuluh darah dalam jaringan avaskular (kornea). Seringkali disebabkan oleh kekurangan oksigen oleh pemakaian kanta lekap yang terlampau ketat.
Gejala: Kurang penglihatan serta timbul pembuluh darah di kornea.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta lekap atau menggantikannya dengan kanta lensa yang menyokong oksigen sepenuhnya.

9      GIANT PAPILLARY CONJUNCTIVITIS (GPC)
GPC adalah keradangan papilari pada kelopak atas mata. Penyebabnya masih belum diketahui hingga kini walau ada yang mengaitkannya dengan pemakaian kanta yang berpanjangan.
Gejala: Gatal-gatal, penglihatan berkurang, kanta lebih banyak bergerak-gerak, tidak boleh memakai kanta biasa dan kelopak mata membengkak.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta, menjaram air dingin, berjumpa doktor mata dengan segera.

Justeru, pencegahan dari timbulnya komplikasi akibat pemakaian kanta lekap adalah jauh lebih baik daripada mengubati.
Setiap individu yang memakai kanta lekap berpotensi mengalami komplikasi-komplikasi yang disenaraikan sekiranya penjagaan kanta lekap dipandang remeh.
 Oleh itu, kekerapan membersihkan kanta lekap serta jangka masa pemakaiannya sebagaimana yang disarankan perlulah dititikberatkan bagi mengelak sebarang kemungkinan. Sayangilah mata anda….

TIPS MEMBERSIH KANTA LEKAP
1.    Cuci tangan bersih-bersih dan keringkannya terlebih dahulu sebelum menyentuh kanta lekap.
2.   Gantikan kanta lekap sebaik mata mulai berasa tidak selesa kerana ia menjadi petanda kanta sudah berada dalam keadaan yang tidak   baik untuk membantu penglihatan
3.    Jangan sembarangan memakai larutan pembersih kerana produk pembersih yang tidak tepat dapat membahayakan mata
4.    Sewaktu membersih kanta lekap, gosok dengan hati-hati. Letakkan kanta di telapak tangan anda dan usap secara perlahan-lahan
5.  Simpan kanta lekap di tempat penyimpanan khusus yang sedia mengandungi agen pembasmi kuman atau disinfektan 
6.   Jangan biarkan mulut botol pembersih tersentuh sebarang permukaan lain atau dibiarkan terbuka untuk menghindari pencemaran.


Tuesday, April 26, 2011

assalamualaikum..........

dah lama rasanya aku tak masukkan cerita dalam blog aku ni... hari ni aku nak share satu cerita yang aku buat sendiri... huhuhu... first time aku wat cerita ni.... harap sudi2lah membacanya....

ERTI HIDUP

            Pagi yang nyaman membuai diri Syazliana dalam keindahan alam yang dicipta oleh Yang Maha Berkuasa. Suasana begitu membuat Syazliana lupa dengan semua maslah yang pernah dihadapi. Seketika dia terbuai dengan angin yang sepoi-sepoi membelai tubuhnya, inilah rahamat Tuhan yang dia tidak pernah sangka akan menikmatinya lagi. Segala yang dicipta oleh Tuhan Yang Esa amat bermakna dalam hidupnya. Keajaiban dan kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa membuatkan dia bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk meneruskan hidupnya dengan orang-orang yang disayangi di dalam dunia yang cukup indah ini. Syazliana memejamkan matanya. Ingatannya kembali pada detik-detik kehidupannya pada masa lalu.
            Syazliana tidak pernah menyangka yang dia akan menghadapi dugaan yang cukup berat dalam hidupnya. Pertama kali dia dan kedua ibu bapanya mengetahui tentang penyakit yang dihidapinya, semuanya bagai mimpi. Sukar untuk dia dan kedua ibu bapanya mempercayai semua ini. “Tuan, puan saya harap tuan dan puan banyakkan bersabar apabila mendengar apa yang bakal saya beritahu kepada tuan dan puan. Anak tuan dan puan telah disahkan menghidap Leukemia iaitu sejenis kanser darah, yang mana sel darah puth melebihi daripada sel darah merah. Bersyukur juga tuan dan puan segera membawa anak tuan dan puan ke hospital. Penyakitnya masih lagi di dalam peringkat awal dan InsyaAllah kami akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk anak tuan dan puan”. Itulah kata-kata doktor yang merawat Syazliana pada ketika itu kepada ibu bapa Syazliana. Tuhan sahajalah yang tahu bagaimana perasaan ibu bapa Syazliana pada ketika itu.
            Pada mulanya Syazliana cuma menghidapi demam biasa, tetapi demam itu berlarutan sehinggalah pada suatu malam seluruh badan Syazliana menjadi pucat. Ibu dan ayah Syazliana berasa hairan lalu menghantar Syazliana ke klinik, doctor menyarankan supaya Syazliana dihantar ke hospital kerana doktor di klinik itu pun tidak dapat mengagak apa sebenarnya yang berlaku. Mulanya, Syazliana ditempatkan di hospital biasa dan apabila semuanya sudah dikenal pasti doktor menyarankan Syazliana dibawa ke hospital pakar di Kuala Lumpur. Disitulah segala persoalan tentang penyakit Syazliana terjawab. Syazliana disahkan menghidap penyakit yang amat serius. Selama empat tahun Syazliana terpaksa duduk di hospital dan selama itu juagalah Syazliana terpaksa meninggalkan pelajarannya di sekolah kerana dia menajalan rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali. Hospital seolah-olah telah menjadi rumah kedua padanya. Sepanjang Syazliana berada di hospital, keluarganya tidak pernah jemu menziarahinya.

Penyakit Syazliana memerlukan seorang penderma sum-sum tulang, dan penderma itu perlulah orang yang sama jenis darah dengannya. Oleh itu, setiap ahli keluarga Syazliana perlu menjalani ujian darah untuk mencari darah yang sesuai dengan Syazliana. Seluruh ahli keluarga Syazliana sentiasa memberikan dorongan dan semangat untuk Syazliana terus berjuang melawan penyakitnya itu. Setelah ujian darah selesai Alhamdulillah salah seorang daripada ahli keluarga Syazliana sesuai untuk dijadikan penderma, iaitu abang Syazliana. Alhamdulillah pembedahan sum-sum tulang dapat dilakukan dengan lancer. Syazliana berasa amat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk sembuh daripada penyakitnya.
            Beberapa tahun selepas pembedahan sum-sum tulang dilakukan, Syazliana dikuarantin selama beberapa tahun, Syazliana tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan orang ramai dan Syazliana tidak boleh terlalu lasak. Namun, setelah beberapa lama selepas itu, Syazliana boleh menjadi seperti orang lain, boleh bersekolah seperti biasa dan boleh mengejar cita-citanya. Walaupun Syazliana tertinggal banyak pelajaran ketika dia menajalani rawatan kemoterapi dulu, dia tetap berusaha untuk berjasa dalam kehidupannya. Penyakit yang dihidapinya dulu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berusaha dalam kehidupannya. Walaupun sekarang penyakitnya telah sembuh dia tidak pernah lupa saat-saat dia melalui dugaan yang paling besar dalam hidupnya. Disebabkan penyakitnya itu juga, Syazliana banyak mengenal erti kehidupan. Kesabaran, ketabahan dan kesungguhan perlu ada untuk menghadapi setiap dugaan yang mendatang dalam hidup. Kini, segala yang diimpikan oleh Syazliana telah Berjaya dicapai. Syazliana kini telah menjadi seorang doktor pakar dalam bidang kanser. 
    

Sunday, February 27, 2011

BUAT PEDOMAN BERSAMA


Jika kamu memancing ikan... setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu.... jangan sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja... kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

Begitulah juga.... setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang... setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya.... jangan sesekali kamu meninggalkannya begitu saja... kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi ia mengingatimu....

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu... apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menambalnya semula... akhirnya ia dibuang... sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi...

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya... janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa... anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu menerimanya... akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya...

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain... terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Tuesday, February 8, 2011

CINTA SI BUDAK AGAMA....

salam....
kali ni aku nak masukkan satu cerita yang akan memberi pengajaran kepada semua...
aku dapat cerita ni dalam facebook. kepada sesiapa yang empunya cerita aku mohon diizinkanla ea... huhuhu...
yang dah pernah baca... bacalah lagi sebagai peringatan bersama....

Naim pelajar tingkatan 5 di sebuah Sekolah Agama Persekutuan. Dia seorang yang tinggi ilmu agama dan mempunyai poltik yang agak stabil di sekolah dan siqahnya (kepercayaan orang terhadapnya) tinggi.. apabila Ustaztiada di antara maghrib dan isyak, dia akan ke hadapan. Sama ada memberi tazkirah atau mengepalai bacaan mathurat. Pergaulan dengan perempuan dijaga dengan begitu sempurna, jika mesyuarat terpaksa bercampur lelaki dengan perempuan, sama sekali dia tidak akan mengangkat pandangannya. Semua orang menghormatinya, baik yang junior mahupun senior, baik yang lelaki mahupun perempuan. Jika ada senior yang tengah membuli junior, jika Naim ada di tempat kejadian proses buli itu akan bertukar menjadi majlis maaf-bermaafan. Inilah ‘kuasa’ Naim di sekolahnya. Dia menjadi contoh teladan bagi setiap pelajar sekolahnya. Setiap mata-mata yang wujud di sekolah itu selalu memerhatikan pergerakannya dan mengambilnya sebagai  contoh kehidupan yang paling sempurna. Dek kerana mengetahui banyak mata memerhatikannya, dia betul-betul menjaga akhlaknya. Bukan kerana manusia tetapi kerana Allah. Niatnya hanya satu, supaya Islam itu terpancar dari dirinya.
 Hebatnya dia dalam menjaga akhlaknya, tidak ada seorang pun di dalam sekolahnya melainkan teman sebiliknya yang pernah melihat kulit badannya walaupun dia seringkali bermandi-manda di sekolah berhampiran dengan surau. Sudah pasti, ramai perempuan yang menggilainya walaupun dia tidak mengetahui hal itu. Di hadapannya semua baik, tunduk dengan penuh tawadukknya tapi berlalunya Naim dari tempat itu, mula la mulut mereka bergerak memuji dan mengumpat tentang Naim. Bukan sahaja pelajar biasa yang meminati Naim tapi ada juga pelajar-pelajar perempuan yang memegang tampuk kepimpinan sekolah yang meminatinya Cuma tidak disuarakan, bimbang ditegur dan yang paling mereka takuti, takut cinta mereka ditolak. Tambahan pula Naim banyak kali mengingatkan pelajar-pelajar supaya menjauhi zina hati, zina yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasa tatkala dia memberi tazkirah.
Namun, hatta nabi Sulaiman yang menjadi raja dunia itupun diuji Allah, inikan pula sorang pelajar sekolah agama yang ilmu agamanya masih bertatih, bahasa arabnya masih merangkak-rangkak. Dia diuji dengan kehadiran seorang pelajar perempuan yang baru pindah ke sekolahnya. Namanya Nisa, Khairun Nisa. Orangnya putih, bertahi lalat di pipi sebelah kanan sedangkan Naim di sebelah kiri. “Ana Khairun Nisa, sila beri tunjuk ajar.” Nisa memperkenalkan dirinya. Dalam mahu yang bercampur dengan iman di dalam hatinya, Naim melihat Nisa dengan sipi-sipi matanya sahaja. Ingin dia merenung Nisa lebih tajam tapi iman di dadanya masih kukuh bak tembok besar cina. “Cantiknya,” hati Naim bermonolog. Tidak sampai sekelip mata pun, imannya menampar hatinya. Dia terus sedar dari diulik oleh syaitan dan lantas dia beristighfar, memohon ampun daripada Tuhan dek kerana melakukan zina, zina hati. Ingin sahaja matanya mengeluarkan bintik-bintik mutiara tanda sesalnya dia akan dosanya namun selaput kaca di matanya masih tebal. Mungkin penyesalannya masih belum kuat untuk memecahkan selaput kaca itu.
Saat berganti saat, hari berganti hari, Nisa pun terpilih untuk menjadi salah seorang AJK surau sekolah dek kerana dia asyik ke surau berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain. Subuhnya di surau, Dhuhanya di surau, Zohornya di surau, Asar, Maghrib, dan Isyaknya di surau. Seringkali Naim terdengar suara wanita sedang membaca Al-Quran di bailk tabir biru yang memisahkan lelaki dan perempuan.. ingin dia mengintai siapakah gerangan hamba Allah itu tapi iman masih tebal menyelaput hati nafsunya. Ditakdirkan Allah, suatu hari dia ternampak Nisa masuk ke surau perempuan, maka tahulah dia bahawa suara perempuan yang didengar selama ini ialah suara Nisa. Sedang dia sedang sendirian berdoa selepas solat sunat Dhuha, dia terdengar satu suara perempuan meminta tolong dari balik tabir. Suara perempuan itu sayup-sayup. “Ish... nak tolong ke tak... kalau aku masuk belah perempuan, bukan ke khalwat.. ye la, mana ada orang... aku dan dia je... takley, aku mesti bagitau ustaz hal ni, biar ustaz tolong..” imannya bersuara.
Tapi 1 tetap kalah kepada 2. Imannya kalah dengan nafsu dan syaitan yang menggodanya. “Klau aku tak tolong, maybe... em... aku intai dulu la, kalau serius aku tolong segera kalau tak, aku lapor kat ustaz,” akal mula campur tangan.
Tabir biru itupun diselaknya dan dia mendapati jari Nisa terkepit di almari Quran. Walaupun sakit Nisa tetap menahannya, bimbang maruahnya jatuh dihadapan seorang ketua badan Agama sekolahnya. Dan ketika itulah makhluk durjana yang bernama syaitan mula mengambil peranan.. disuntiknya bius-bius dosa ke dalam hati Naim, supaya Naim tidak terasa melakukan dosa.
“em... aku kena lapor kat Ustaz ke? Patut ke aku tolong? Bley ke aku pegang tangan dia? Dosa...” imannya bersuara. “ah, darurat, darurat... even babi pun boleh makan kalau darurat.” Akal yang dibalut dengan nefsunya membuat pertimbangan. “Betul jugak, ok, aku tolong.” Hatinya membuat keputusan sambil disahkan oleh syaitan. “Er, Nisa tahan ek, kejap saya tarik pintu almari ni.” Dia memberi arahan kepada Nisa. “...ok...” Suara Nisa bagaikan bunyi ikan bersuara, entah dengar, entah tidak. Pintu almari berjaya dibuka, jari Nisa terlepas dari kepitan almari. Merah bak biji saga jarinya, hampir-hampir saja berdarah tapi kulitnya masih kuat menahan segala isi cecair daripada keluar. Tiba-tiba Naim tanpa berfikir panjang memegang jari Nisa. Niatnya hanya satu, ingin melihat keadaan jari Nisa. Tapi dengan pantas Nisa menariknya dan berlari turun daripada surau dan menuju ke kelas.
“Ya Allah, apa aku telah buat ni... aku bukan sengaja melakukannya Ya Allah... ampunilah aku.” Dia berdoa, menangis menyesal dosa yang baru sahaja dibuatnya sebentar tadi. Habis sahaja air matanya kering, hatinya diketuk dengan pelabagai soalan. Bukan solan agama tetapi sola maruah dan siqahnya. Bagaimana jika Nisa menceritakan hal tadi kepada kawan-kawannya? Bagaimana kalau cerita itu bocor kepada junior-juniornya? Kalau ustaz dapat tahu, pasti dia akan dilucutkan dari segala jawatan yang disandangnya sekarang. Dia akan dicemuh dan dihina. Dia tidak akan dapat peluang ke depan lagi sewaktu ketiadaan ustaz. Dia bimbang bercampur keliru.
Lamunannya tersentak apabila satu suara memberi salam untuk masuk ke surau. Peluh-peluh resah dan gelisah mengalir di pipi kanannya, dia masih di bahagian surau wanita. Apa yang harus dijawab jika ditanya. Ya, menipu. Menipu adalah jalan penyelesaian yang terbaik buatnya sekarang. Lagipun dia cam suara itu, itu suara Khairul, teman sebiliknya. Baginya tidaklah berdosa menipu teman sebilik yang akrab dengannya. “Eh, Im... apa ko wat dlm surau perempuan tu?” Soal Khairul, kelihatan di mukanya perasaan ingin tahu. “Eh, takde apa-apa la. Aku just check sama ada Quran cukup tak belah perempuan.” Jawab Naim. “Owh... baguslah baut kerja baik atas rumah Allah ni. Insya Allah ko dapat pahala, taknak share dengan aku?” gurau Khairul. Gurauan yang pada dasarnya kelihatan seperti satu lawak. Bodoh tetapi ada perkataan-perkataan yang menghantui fikiran Naim iaitu ‘RUMAH ALLAH’. Ya di atas rumah Allah inilah Naim melakukan maksiat. Di atas rumah Allah inilah Naim menipu. Semuanya di atas rumah ini, rumah kepunyaan Tuhan.
Tiba-tiba dia menangis tetapi bukanlah menangis seperti anak kecil menangis. Hanya air mata sahaja mengalir di atas pipinya yang sedikit cengkung. Khairul terkejut melihat Naim menangis dan bertanya sebab Naim menangis tetapi Naim hanya berdiam. Khairul membuat andaian sendiri, pada pendapatnya mungkin Naim menangis kerana bertaubat. Lantas perasaan cemburu mula menguasai dirinya. Inilah dia tanda orang yang beriman,pantang melihat orang lebih dekat dengan Kecintaannya, pasti dia cemburu. “Eh Im, kelas da nak start. Jom!” ajak Khairul. “Ok.” Balas Naim.
Pelajarannya selepas waktu rehat tadi tiada makna. Sepatah kata yang keluar dari mulut cikgu-cikgunya tidak satu pun diingati atau diberi perhatian. Matanya tajam memandang ke arah papan hijau di hadapan kelas tetapi fikiran jauh ke laut mencari ketenangan. Jasadnya wujud tapi roh akalnya tiada. Bukan sibuk memikirkan penyelesaian, tetapi sibuk mencari masalah-masalah yang akan timbul jika cerita tadi diketahui umum. Rupa-rupanya, bukan Naim sahaja yang berjasad tanpa akal, begitu juga dengan Nisa. Cuma ada kelainannya. Nisa sama sekali tidak bimbang tentang nasibnya jika cerita itu bocor atau ada mata yang terpandang peristiwa tadi tetapi kepalanya sibuk memikirkan tentang Naim. Kedudukannya dia dalam kelas menyebabkan matanya tidak berkelip memandang Naim dari belakang. Baginya, alangkah bertuah sesiapa yang dapat menawan hati Naim. Kesopanan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Naim sebentar tadi, betul-betul memikat hati suci si gadis ini. Begitulah nasib si Abid tanpa ilmu. Pantang ditiup angin, pasti dia rebah.
Tangan mula mengambil peranan, diambilnya pen merah jambu kesukaannya dan diambil sehelai kertas memo yang berada di dalam laci mejanya. Sepucuk surat ditulis sebagai tanda terima kasih buat si jejaka budiman. Surat sahaja tidak cukup, dibelinya sekotak air laici yang berharga 80sen dengan duit seringgit. Bakinya dibeli sebatang choki-choki, juga sebagai hadiah. Seperti kebiasaannya, Naim datang ke kelas seawal mungkin. Selesai sahaja solat Zohor berjemaah dan makan di dewan makan, tanpa menyalin pakaian, dia terus ke kelas. Baginya masa itu emas dan tidak boleh dibazirkan walaupun sesaat. Masih banyak pelajaran tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang belum dikuasainya. Tabiatnya menjadi ikutan sesetengah pelajar yang lain. Pabila dia melangkah kaki ke dalam kelas, alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat sepucuk kertas yang dilipat 2 dan ditindih dengan sekotak air laici dan sebatang choki-choki.
Isi suratnya : salam... terima kasih kerana tolong ana... kalau anta takde tadi, tatau la macam mana ana nak buat... jangan bimbang, ana tidak akan membocorkan hal tadi kepada orang lain. Ukhwah Fillah, Nisa. Sambil menghirup air laici dalam kotak itu, dia tersenyum. Dengan mengoyak plastik depan choki-choki, dia membetulkan kerusinya, mempersiapkan dirinya untuk menulis surat balas kepada Nisa. Sebaik sahaja pennya ingin menyentuh dada kertas putih berbelang biru itu, dia terfikir alangkah bagusnya kalau dia mempunyai pen berwarna-warni supaya Nisa tidak jemu membacanya. Mata hitamnya terpandang bekas pensil kawannya di hadapan. Tidak pernah dia menyentuh barang orang lain tanpa izin tapi kali ini tidak lagi. Entah kawannya bagi atau tidak, dia terus menggunakannya atas alasan yang sangat biasa, “standardla kawan...” maka bermulalah kisah cinta Naim, si budak Agama.
Balas dia : salam, terima kasih atas minuman dan makanan yang saudari bagi, ana tidak buat apa-apa melainkan untuk menolong insan dalam kesusahan, bukankah Islam menyuruh kita menolong orang dalam kesusahan? Moga Allah meredhai kita. Dan, salam perkenalan. Ana Naim.
 Diselitnya surat ini ke dalam buku latihan Nisa dengan harapan yang membulat. Maka, Naim dan Nisa mula berbalsan surat. Walaupun pada awalnya, kedua-duanya berasa kekok dek kerana dua-dua mempunyai tapak agama yang dikatakan kukuh. Ada juga Nisa bertanya di dalam suratnya, “kita berbalas surat ni tak salah ke di sisi Islam?” pening juga Naim dibuatnya namun disejukkan hatinya dan hati Nisa dengan jawapan “takpe, kita dating tak pernah. Bertentangan mata jarang sekali. Kita Ukhwah Fillah. Kita berhubungan ini pun semata-mata kerana Allah. Kita niat untuk berkahwin, bukan untuk buat maksiat.” Nisa membalas, “Bagaimana pula dengan zina hati?” Lalu Naim membalas “Mana ada zina hati. Zina hati tu ulamak yang buat dengan tujuan umat Islam tidak mendekati zina. Rasulullah tak kata pun. Lagipun cinta ni fitrah, masakan Allah zalim mengharamkan apa-apa fitrah manusia?” hilang sudah prinsip yang dipegangnya selama ini. Walaupun Nisa tidak berpuas hati dengan jawapan Naim, namun dek kerana cintanya dia kepada Naim, di’iya’kan sahaja ‘fatwa’ kekasihnya itu. Naim dapat mengesan rasa sangsi kekasih hatinya melalui gaya bahasa dan cara penulisan yang agak sedikit berbeda, lalu dia membalas, “Nisa, bukanlah Allah berfirman bahawa perempuan baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik? Ana yakin anti baik dan ana pun yakin yang anti rasa ana baik. Tidak sekali Allah kata isteri yang baik untuk suami yang baik tetapi Allah kata perempuan dan lelaki bermakna belum berkahwin pun takpa... anti meragui Quran?” terdiam Nisa membaca ‘fatwa’ baru buah hatinya itu. Ingin dia membantah tetapi bimbang dianggap meragui Quran.
Mindsetnya yang mengatakan buah hatinya mempunyai ilmu setinggi langit itu menyebabkan dia semakin yakin dengan ‘fatwa-fatwa’ itu. Siqah bukanlah kerja manusia. Pengaruh bukanlah kawalan manusia. Hati manusia tidak boleh dibeli dengan mata wang. Kesetiaan tidak boleh diperdagangkan dengan kemewahan. Semuanya hak mutlak Allah, Tuhan yang membolak balik hati manusia. Jika Dia menghendaki seseorang itu mulia, maka mulialah orang itu walaupun pada awalnya dia hanya seorang anak yatim piatu. Jika Dia menghendaki seseorang itu hina, maka hinalah orang itu di atas takhtanya sendiri. Semuanya bukan dengan tiba-tiba tetapi ada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Nya yang diberi nama Sunnatullah.
Kepercayaan manusia terhadap seseorang itu akan datang bila dia mendekatkan diri dengan Tuhannya. Kesetiaan seseorang terhadapnya menjadi lebih solid pabila dia menyempurnakan apa yang dilafaznya. Inilah hukum yang ditetapkan Ilahi.
Makin hari, pengaruh Naim semakin jatuh. Kawan-kawan dan junior-juniornya semakin bosan dengannya. Sebab? Tiada. Jelas sekali soal hati, Dia yang punya. Hidup Naim juga menjadi tidak tentu hala. Dulu dia berbaju ketika mandi di kolah, kini tidak lagi... pertimbangan akal menjadi semakin kurang, mungkin terlampau tebal kabus dosa yang menutupi hatinya. Siqahnya kian jatuh. Terkadang dia dimarahi oleh cikgu-cikgu kerana prestasinya yang kian merosot. Dia merasakan tekanan semakin bertambah. Tiada lagi sakinah yang dianugerahkan kepadanya dulu. Tiada lagi senyuman tatkala kesusahan. Tiada lagi nasihat-nasihat penenang yang mampu diberi pabila adik-adik datang meminta nasihat. Jika dulu dia mampu mengambil tugasan luar walaupun ketika peperiksaan bulanan dijalankan, kini tidak lagi. Bukan peperiksaan pun dia tidak dapat mengatur masa dengan baik. 24 jam baginya tidak cukup. Masa untuk dia belajar, masa untuk dia berpersatuan dan masa untuk Nisa. Pernah dia berdoa meminta 1 jam lebih tapi dia tidak sedar bahawa jika dia diberi 100 jam lebih pun, pasti tidak mencukupi.
Khairul merasa hairan dengan perubahan sikap kawan sebiliknya tu. Kadang-kadang tersenyum seorang diri, kadang-kadang masam dan kadang-kadang seperti bercakap seorang diri. Naim seakan-akan gila. Betul Naim gila, gila bayang. Panahan syaitan benar-benar telah masuk dalam hatinya. Khairul cuba bertanya mengapa dia seakan-akan berubah tapi dimarahnya Khairul, “kubur lain-lain, neraka pun lain-lain!” “Betul sebab lain-lain la aku nak tanya ko. Mana la tau ko ada masalah, bimbang takut di sana pun ko ada masalah.” Ujar Khairul. “ko tau kan firman Allah, kuu anfusakum wa ahli kum naara?” soal Naim. “jagalah diri kamu dan ahli keluargamu daripada api neraka.. jadi?” jawab Khairul. “jadi?! Aku ahli keluarga kau ke?!” marah Naim lagi. Khairul terdiam sedar bahawa ilmunya tidaklah setanding dengan Naim.
 Perasaan kesal timbul dalam hatinya atas tindakan sahabatnya sebentar tadi. Namun, atas dasar silaturrahim kerana Allah, dia nekad untuk mengetahui punca Naim berubah. Baginya pokok tidak akan bergoyang jika beruk tiada di dalamny. Walaubagaimanpun, Khairul tidaklah selicik Naim, dia buntu apabila memikirkan adakah tindakannya selari dengan Islam atau berserenjang dengan Islam. Lalu disampaikan isi hatinya kepada Ustaz Faidi, Mentornya.
“Er ustaz, saya ada masalah nak bincang dengan ustaz.” Bagitahu Khairul. “Ma?” soal ustaz balik, “Ustaz saya bimbang dengan Naim, teman sebilik saya. Perangainya seperti sudah berubah. Dia macam bukan dia... er, tak tau nak terangkan macam mana...” terang Khairul. “Na’am, ana pun perasan perubahan pada Naim. Dia dah bukan mcam dia yang dulu. Banyak perubahannya.” Tambah ustaz. “Saya rasa, ada yang disembunyikan olehnya ustaz dan saya rasa, ada baiknya saya menyiasat... bolehkah ustaz?” soal Khairul. “Dalam Islam, mengintai mencari kesalahan orang ini diistilahkan sebagai Al-Tajassus. Hukumnya asalnya haram tapi boleh berubah menjadi harus pabila diperlukan. Dan dalam keadaan ni, hukumnya harus.” Terang ustaz. Penyiasatan bermula dan penyiasatan Khairul bertemu dengan jalan buntu. Tiada sebarang benda buruk yang dilakukan Naim. Namun, pabila Allah menghendaki yang gelap menjadi terang, dihilangkan bintang dan diganti dengan matahari.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah. Akhirnya surat yang disimpan selama ini dijumpai oleh Khairul ketika dia sedang membersihkan surau. Rupa-rupanya, surat-surat yang dihantar oleh Nisa selama ini disimpan di balik almari al-Quran di hadapan tempat imam solat. Terkesima Khairul dibuatnya apatah lagi ketika membaca perkataan-perkataan yang telah berlaku evolusi daripada ‘ana’, ‘anti’, kini ‘sayang’, ‘ayang’. Daripada ‘ukhwah fillah’ kini ‘i luv u’.
Khairul tidak salah lagi, surat itu kepunyaan Naim. Tertera nama Naim di atas belah kiri surat, ‘buat Naim ku sayang’. Dalam tidak sedar Khairul menangis. Dia betul-betul sedih membaca surat-surat itu, bukan kerana Nisa yang dalam pemerhatiannya juga dirampas orang tetapi sedih bagi pihak Naim. Terngiang-ngiang di telinganya bacaan ayat 2 dan 3 surah As-Saf yang selalu dibaca oleh Naim ketika menjadi imam Maghrib. Mengenangkan maksud ayat-ayat tersebut secara ringkasnya memberi maksud melarang orang beriman daripada memberi nasihat tentang apa yang mereka perbuatkan, Khairul terus menangis. Dari luar surau, kelihatan Naim yang baru sahaja sampai di surau. Tanpa berfikir tentang benda lain, Naim terus memandang ke arah tempat penyimpanan ‘harta karun’nya itu. Terperanjat dia apabila mendapati Khairul sedang memegang ‘harta-harta karun’nya itu dan tanpa berfikir panjang, dia berlari ke arah Khairul. Sekali lagi dia melanggar prinsip yang diajar kepada orang lain supaya menghormati rumah Allah, jangan berlari-lari di atasnya. Dia lupa bahawa dia pernah melarang kawan-kawannya yang bergurau di dalam rumah Allah, katanya bahawa berlari di atas rumah Allah seperti berlari di atas perut ibu sendiri yang sedang sarat mengandung. Entah benar, entah tidak.
Ditolaknya Khairul ketepi dan dirampasnya semua surat-surat yang dipegang oleh Khairul. “Woi, apa ko buat ni!!!” maeah Naim. “Woi? Mana pergi bahasa mu wahai kawan? Mana pergi dirimu yang dulu wahai Naim?” soal Khairul sambil mengesat air mata yang sedang mengalir. Naim terdiam. “Rupanya inilah masalah mu wahai kawan. Tiada ku sangka dirimu sedemikian, wahai kawan. Bagiku engkaulah model, engkaulah insan sempurna yang memancarkan sinar Islam ke sekolah ini. Kini kau sirna!” marah Khairul. “ah,  kau peduli ape!” Naim bersuara walaupun hatinya terkesan dengan kata-kata Khairul. “Jujur aku tanya, kau couple Im?” soal Khairul. “Aku couple ke, aku tak couple ke, tu soal aku la. Dosa biar aku tanggung sendiri!!! Jangan risau la, aku takkan heret kau masuk neraka sama dengan aku!!!” lantang sungguh Naim berbicara. Dia lupa di atas lantai rumah siapakah yang dia pijak sekarang. Khairul berlalu dari tempat itu dengan penuh penyesalan. Ingin dia salahkan takdir kerana menemukan dia dengan seorang kawan yang hipokrit seperti Naim namun dia akur dengan qada’ dan qadar Ilahi.
Semasa mereka berkelahi sebentar tadi, mereka bukan berdua. Di balik tabir biru itu ada 3 pasang telinga yang mendengarnya secara tidak sengaja. 3 orang pelajar junior perempuan baru sahaja selesai mendirikan solat sunat Dhuha mendengar setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut mereka berdua. Malang si Naim. 3 orang pelajar itu bukanlah pelajar yang diam sifatnya. Dihebahkan berita Naim berpacaran ke setiap juzuk sekolah sehingga para cikgu pun tahu mengenainya. Ke mana sahaja Naim pergi, pasti ada mata-mata yang memandangnya dengan hujung-hujung mata dan sebaik sahaja Naim pergi, mulalah syaitan berpesta dengan dosa mengumpat. Bertambah malang bagi Naim, dia tidak tahu bahawa semua orang telah tahu dia berpacaran. Tazkirah yang seringkali ditunggu oleh semua pelajar kini dicemuh, dihina, dan dikutuk oleh semua yang mendengarnya kecuali kekasih hatinya, Nisa. Khairul, si sahabat setia ini tidak senang mendengar orang mengumpat sahabat sejatinya.
Akhirnya dia berkeputusan untuk menyampaikan sendiri kepada Naim bahawa semua orang sedang mencelanya. “Im, sebenarnya... semua orang da tau ko couple.” Bicara Khairul secara perlahan. “Hah?!” terkejut Naim. Apa yang ditakutinya kini menjadi realiti. “Ko bagitau orang?!!!” soal Naim. “Eh, tak... aku pun tak tau macam mana bley...” “Ah!!! Inilah kawan! Kawan makan kawan! Aku tau dari dulu lagi ko dengki dengan aku, ko dengki dengan jawatan aku dapat! Aku tau kau sengaja nak jatuhkan aku!” Naim memotong dengan lajunya, melebihi had laju yang sepatutnya. “Demi Allah..” “jangan main dengan sumpah! Berani sebut nama Allah dalam buat dosa, dasar...” sekali lagi Naim memotong, laju benar susun katanya. “Aku menyesal bagitahu kau, aku ingat kau la kawan aku yang sejati, rupa-rupanya...” “rupa-rupa apa?! Musuh?!” Naim marah lagi. “Na’am! Musuh Allah, musuh Agama Allah! Ko nasihat orang jangan bercouple, jangan zina hati, jangan itu, jangan ini tapi dalam masa yang sama kau buat! Ko lupa ayat-ayat surah As-Saf yang ko selalu baca time jadi imam? Ko lupa?! Meh aku ingatkan ko! Wahai orang beriman jangan kau melarang apa yang kau kerjakan. Sungguh besar kemurkaan Allah pada engkau! Ya, pada engkau Naim! Allah memurkai mu dan layaknya aku membenci mu!” balas Khairul dengan penuh perasaan kecewa. Lalu dia meninggalkan bilik dengan menarik tombol pintu dengan sekuat-kuatnya. Keheningan dan kesunyian malam itu dipecahkan dengan dentuman pintu bilik khas, bilik Naim dan Khairul. Di sekolah itu mereka sahaja yang diberi keistimewaan untuk tinggal dibilik dan orang lain di dorm, memandangkan mereka ialah ketua dan penolong ketua pelajar di sekolah itu. Pelajar-pelajar senior yang mendengarnya keluar dengan berlari, hati mereka ingin benar mengetahui apa yang berlaku. Namun kelihatan hanya Khairul sedang berjalan menuju ke tandas. Berbeza pula dengan pelajar junior, mereka dengan lajunya menutup lampu dan berpura-pura tidur, bimbang nama mereka dipanggil untuk dijadikan ‘lauk’ para senior malam itu. Kata-kata Khairul benar-benar menikam qalbu terus ke akal. Tersentak Naim buat seketika. Mimpi ngeri dalam hidupnya baru bermula. Tidak, dia baru sedar yang dia dalam mimpi ngeri.
Tindakan segera wajib diambilnya jika tidak siqahnya akan terus merundum jatuh menyembah bumi. Jika dia terus begini, tiada lagi ‘Abg Naim Si Budak Surau’ atau gelaran ‘Wali Naim’. Tiada lagi kesetiaan, tiada lagi kepatuhan dan tiada lagi insan yang akan menghormatinya menggunakan hati mereka. Apa yang ada hanya lakonan. Buah di luar, duri di dalam. Dikuatkan hati, diringankan tangan untuk menulis surat terakhir buat kekasih hatinya. Tapi ternyata dia gagal.. semalaman dia tidak lena, pening memikirkan jalan penyelesaian yang pasti tiada jawapannya. Akibatnya, dia tertidur di dalam kelas. “Naim bangun!” arah Cikgu Marlina, cikgu matematik tambahan yang terkenal dengan garang dan keceluparan mulutnya. Naim terjaga dari lenanya dan terus berdiri. “Apa dah jadi dengan awak ni? Dalam kelas tidur, luar kelas bercinta!” Marah Cikgu Marlina. Awan hitam kini melitupi Naim, dia merasa tersangat malu. Bukan arang yang diconteng ke mukanya sekarang tetapi najis, najis manusia, manusia yang bernama Naim, najisnya sendiri. Tiada kata dapat dibalas, dia hanya tunduk terdiam. Naim bijak dalam beragama, tapi dia gagal dalam berpolitik.
Dia tidak sedar akan tindakan untuk tunduk dan diam itu bukanlah satu tindakan yang betul dalam berpolitik. Tindakannya seperti dia mengakui kesalahannya dan dalam erti kata lain, dia mengakui bahawa dia sedang bercinta. Marah Cikgu Marlina tadi bukan sahaja menampar Naim tapi terbias juga kepada pasangannya, Nisa. Nisa tunduk, akur dengan kesilapannya. Kini, dia sedar bahawa dia telah menarik Naim ke lembah kebinasaan. Surat pertamanya, surat tanda terima kasih itu merupakan surat jemputan ke neraka. Dia sudah segala-galanya. Surat, hadiah dan fatwa-fatwa Naim itu merupakan alatan-alatan yang dibuat oleh syaitan. Nampak seperti sesuai dengan syarak tapi penuh dengan unsur kemaksiatan, tidak dapat dilihat oleh mata kasar, hanya mata hati dapat mengesannya. Cara yang terbaik untuk Nisa sekarang, menulis surat terakhir, surat tanda perpisahan, surat yang akan meniupkan kembali segala kebaikan dan menutup segala keburukan. Dengan nekad yang kuat di dalam hati, keyakinan yang tinggi terhadap Islam, Nisa memegang pen merah jambu kesayangannya dan mula menulis.
Salam sayang. Sudah hampir 5 bulan kita bercouple, Ayang percaya yang sayang sudah tahu isi hati Ayang, Ayang benar-benar menyintai sayang... sepenuh jiwa dan raga Ayang... Namun, Ayang sedar satu benda, benda yang mungkin buat kita menangis. Dalam kita asyik mengejar cinta Ilahi bersama-sama, kita telah balutinya dengan cinta yang penuh dengan kepalsuan. Cinta manusia yang tidak mempunyai dasar yang kukuh. Kita selesakan diri kita dengan menyatakan cinta kita berdasarkan iman tapi dengan iman itu kita melakukan maksiat. Benar kita tidak pernah berjumpa, berdating seperti remaja lain tapi maksiat bukan itu sahaja. Ayang yakin dengan kata-kata sayang bahawa tiada hadis yang menyatakan zina hati tapi ayang baru perasan bahawa ayat la taqrabu zina tu menggunakan fail qaraba yakni perbuatan mendekatkan dengan hati. Maknanya, dengan hati pun tidak boleh dekati zina. Ayang bukanlah membuat fatwa atau apa-apa ajaran, tetapi itulah yang ayang percaya. Tindakan kita ni tidak lain tidak bukan, membersihkan najis dengan air kencing sendiri. Najis tidak bersih tetapi bertambah kotor, mengalir dan terus mengalir mengotori semua tempat. Sayang... ayang percaya pada jodoh. Jika kita dijodohkan bersama, InsyaAllah, kita akan bersama. Tidak perlu bercouple atau berkenalan, jika Allah nak kita bersama, InsyaAllah, kita bersama. Percayalah, itu hak Allah. Diaboleh buat apa yang dia suka. Dia yang menghidupkan Isa tanpa bapa, menyejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim, memutuskan air pengahalang Nabi Musa dan menghidupkan Sam bin Nuh buat Nabi Isa. Jika semua perkara ganjil itu Allah yang buat, apatah lagi soal jodoh yang merupakan soal kebiasaan. Semoga apa yang kita bina selama ini diampuni Allah. Ukhwah Fillah.
Nisa tertitis setiitik dua air matanya di atas dasar surat itu tapi cepat-cepat dilapkan supaya tulisan tidak hilang. Sengaja dia tidak mengambil kertas baru dan menulisnya kembali supaya Naim faham isyarat yang cuba diberinya. Hati Nisa tidak mahu tapi disebabkan imannya, agama didahulukan. Kemahuan ditolak ketepi walaupun perit menolaknya. Surat keramat diletakkan di atas meja Naim, kali ini tiada lagi air laici dan tiada lagi choki-choki, surat semata-mata. Naim membacanya dan dia telah bersedia dengan keadaan ini. Tiada lagi air mata, tiada lagi tangisan, tiada lagi kedukaan. Kisah cintanya jelas bukanlah cinta yang menghasilkan CINTA tapi cinta yang berpaksikan maksiat semata-mata. Tangannya pantas mencari kertas dan pen untuk membalas surat terakhir ini. Tengah dia berfikir ayat-ayat cinta terakhir, hidayah Tuhan sampai. Cahaya yang akan menghilangkan segala titik hitam yang bertapak di permukaan hatinya. Cahaya yang akan membaca cinta ini kepada CINTA. Dengan penuh yakin, dia mengoyak kertas yang ditulisnya tadi. Dia yakin, jika dia menulis surat balas, syaitan akan mencelah dan mengambil peluang lagi ke atasnya. Biarlah surat ini bergantung sebegini supaya dapat disambung di akhirat nanti.        

Tuesday, February 1, 2011

leukemia

salam.... hai semuanya.... dah lama aku tak masukkan entry baru dalam blog aku ni kan... kesian kat sape2 yg follow aku... takde information terbaru yang aku masukkan... huhuhu.... sorilah.... aku asyik busy jek memikirkan pasal STPM aku yang akan datang n segala tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada aku....
tapi xpelah... busy untuk berjayakan... InsyaAllah...
aku nak share something yang aku rasa korang patut baca... selamat membaca....

Leukemia merupakan salah satu penyakit barah atau kanser yang berpunca daripada darah. Leukemia terjadi apabila badan menghasilkan sel darah putih dengan aktif seterusnya menghalang penghasilan sel darah merah.
       Situasi ini menyebabkan berlakunya gejala anemia pada pesakit. Keadaan ini juga akan menyebabkan pesakit kekurangan sel darah putih matang dan ia mengurangkan daya tahan terhadap jangkitan. Penghasilan sel darah putih berlebihan juga menghalang penghasilan platlet darah yang penting untuk tujuan pembekuan darah.
       Di dalam aliran darah manusia terdapat komponen darah berbentuk zat cair yang dinamakan plasma darah. Terdapat juga komponen darah yang membentuk sel dan terdiri daripada 3 jenis sel yang mempunyai fungsi masing-masing :
Jenis sel darah dan fungsi
JENIS SEL
            FUNGSI
Sel darah merah (eritrosit)
·      Membawa karbon dioksida (CO2) dari seluruh tubuh ke paru-paru.
·      Memberikan warna merah pada darah kerana jumlahnya yang paling tinggi
Sel darah putih (lekosit)
·      Bertugas untuk melawan penyakit.
·      Merupakan antibodi semulajadi dalam badan manusia.
Platlet darah (trombosit)
·      Menutup lubang apabila terdapat kebocoran pada pembuluh darah.
·      Membantu dalam pembekuan darah.
       Ketiga-tiga jenis sel darah di atas dihasilkan di dalam sum-sum tulang iaitu bahagian tengah tulang yang berbentuk span. Semua sel darah yang masih muda(immature) berada dalam keadaan normal di dalam sum-sum tulang sehingga ia matang(mature).
       Sel-sel darah ini dihasilkan secara teratur dan terkawal sesuai dengan keadaan tubuh seseorang. Jika terjadi sebarang pendarahan seperti kecederaan atau menstruasi, sum-sum tulang akan menghasilkan sel darah merah dengan lebih cepat dan banyak untuk mengekalkan kadar hemoglobin.

SEL LEUKEMIA
       Sekiranya terjadi leukemia, sum-sum tulang akan menghasilkan sel darah merah yang tidak normal dalam jumlah yang berlebihan. Sel leukemia kelihatan berbeza dari sel darah yang normal. Di samping bentuknya, sel ini juga tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.

JENIS LEUKEMIA
       Terdapat banyak jenis penyakit leukemia yang boleh menyerang tubuh seseorang. Ia dibahagikan kepada 2 jenis iaitu leukemia akut dan leukemia kronik. Leukemia akutberlaku apabila sel-sel abnormal iaitu sel muda(immature) abnormal tetap tidak matang sehingga tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya.
       Manakala leukemia kronik pula berlaku apabila terdapat sel yang tidak matang tetapi masih terdapat sel yang lebih matang. Dalam keadaan ini perjalanan penyakit agak lambat.
       Sel leukemia timbul dari 2 jenis pokok sel darah putih iaitu sel lomfoid dan mieloid. Apabila ia mempengaruhi sel limfoid, leukemia ini dipanggil leukemia limfositik. Manakala jika ia mempengaruhi sel mieloid ia dikenali sebagai leukemia mielositik.

LEUKEMIA YANG SERING BERLAKU
1.      Leukemia limfositik akut
·         Leukemia jenis ini banyak berlaku pada kanak-kanak, tetapi ia juga boleh menyerang orang dewasa terutamanya yang berusia 65 tahun ke atas.

2.      Leukemia mielositik akut
·         Leukemia jenis ini juga biasa menyerang kanak-kanak dan orang dewasa.

3.      Leukemia limfositik kronik
·         Banyak menyerang orang dewasa yang berusia 55 tahun ke atas dan juga dewasa muda.

4.      Leukemia mielositik kronik
·         Biasanya menyerang orang dewasa.

TANDA-TANDA YANG SERING BERLAKU
Di bawah adalah tanda-tanda yang biasa ditunjukkan oleh pesakit :
a.    anemia - pucat, letih dan pendek nafas
b.    mudah jatuh sakit
c.    sakit anggota badan; jika sakit pada kaki pesakit akan berjalan tempang
d.   purpura - ruam warna jingga yang tidak hilang bila di picit
e.    mudah lebam
f.     hidung kerap mengalami pendarahan
g.    hilang nafsu makan dan turun berat badan
* Pada leukemia akut limfositik, sel leukemia menyerang otak atau jaringan saraf sum-sum tulang. Ini akan menimbulkan gejala seperti sakit kepala, muntah, bingung, gerakan tidak terkawal, kejang dan sakit otot. Sel leukemia juga boleh menyerang buah zakar dan menyebabkan pembengkakan.