Sunday, August 14, 2011

SOLAT TARAWIH


Maksud Tarawih dari bahasa ialah berasal dari perkataan tarwihah yang bermaksud satu kali istirehat. Solat Tarawih pada istilah ialah solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula.

Hukum Solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan Solat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat Sunat Tarawih.

Kelebihan yang paling besar dikurniakan Allah swt kepada orang yang mengerjakan solat Tarawih. Sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya:

“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sejarah Solat Tarawih ialah bermulanya di Masjid Nabawi, ketika mana malam pertama Ramadhan Nabi Muhammad saw mengerjakan Solat Tarawih dan diikuti oleh sahabatnya yang berada di masjid tersebut. Malam kedua Nabi Muhammad saw mengerjakan lagi Solat Tarawih dan diikuti lebih ramai lagi para sahabatnya. Pada malam ketiga lebih ramai lagi para sahabatnya menunggu Nabi Muhammad saw untuk mengerjakan Solat Tarawih, tetapi Nabi Muhammad saw tidak hadir pada malam tersebut. Pada keesokkan harinya, para sahabat bertanya kepada Rasulullah akan hal tersebut. Rasulullah menjawab kuatir Solat Tarawih tersebut diwajibkan. Peristiwa ini berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ra bermaksud :

"Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu." (Riwayat Muslim)

Rakaat Solat Tarawih

Ulamak dari empat mazhab bersepakat bahawa Solat Tarawih mempunyai 20 rakaat tidak termasuk dengan witir. Hujah ini berdasarkan kepada :

Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.

Hadith riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' . Yazid bin Rauman berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan Solat Tarawih sebanyak 23 rakaat. ( 20 rakaat Tarawih dan 3 Rakaat Witir)

Pendapat dari ulamak muktabar Tentang Rakaat solat Sunat Tarawih ialah :

Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya Aqrabul Masalik'ala Mazhab Al-Imam Malik mengatakan bahawa : "Bahawa Solat Tarawih itu 20 rakaat dilaksanakan selepas solat Isyak dan salam setiap dua rakaat selain witir.Solat Tarawih itu sunat dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh dengan jamaah yang mendirikan Solat Tarawih. akan tetapi jika masjid kosong daripada Solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan berjama'ah."

Imam Syafii dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa : “Solat Tarawih itu berjumlah 20 rakaat berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Kaab bahawa beliau Solat Tarawih dengan 20 rakaat bersama umat Islam tanpa ada perselisihan pendapat daripada para sahabat."

Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid berkata: "Imam Malik dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafii dan Imam Ahmad memilih 20 rakaat selain witir."

Imam Nawawi menerangkan: "Mazhab kami menetapkan bahawa Solat Tarawih berjumlah 20 rakaat dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri daripada lima tarwihat (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada empat rakaat dengan terdiri dua salam."

Jelas daripada semua pendapat ulamak di atas mengatakan bahawa Solat Tarawih mengandungi 20 rakaat. Hal ini tidak menjadi masalah kalau ada orang yang tidak mampu mengerjakan 20 hanya mengerjakan 8 rakaat. Dalam hal ini juga tidak perlu dipertikaikan dan tidak perlu berbalah atas alasan Rasulullah tidak melaksanakan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di masjid. Ini semua hanya masalah furuk sahaja dan tiada dalil yang mengaharamkan atau mewajibkan perbuatan tersebut. Bergantung kepada kemampuan semua orang, jika mampu laksanakan 20 rakaat, maka lakukanlah 20 rakaat, kalau tidak mampu cukup hanya dengan 8 rakaat sahaja.

KEISTIMEWAAN MALAM LAILATUL QADAR



Lailatul-Qadar membawa makna Malam Kemuliaan dan Kebesaran iaitu malam terkumpulnya keseluruhan al-Quran di Lauhul-Mahfuz sebelum diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Surah Ad-Dhukaan ayat kedua juga di sebut mengenai kemuliaan al-Quran yang diturunkan pada malam Lailatul-Qadar:“Demi al-Quran! Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguh Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat…(Kami menurunkan al-Quran pada malam berkat itu dijelaskan malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku),-tidak bertukar atau berubah. 

“Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya)’-(Surah al-Qadar).Malam itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar (Surah al-Qadar). Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w bersabda : “Pada tiap- tiap malam Lailatul-Qadar itu, Allah menurunkan rahmat yang meliputi sekelian mukmin di atas muka bumi ini dari timur ke barat. Selebihnya diperintahkan Allah kepada Jibril agar diberikan kepada bayi yang lahir pada malam itu samada oleh ibu yang Islam atau Kafir”. ( Kitab Durrah al - Nasihin ).

Kebanyakkan ulama berpendapat, Lailatul-Qadar ialah malam mula diturunkan al- Quran, iaitu pada 17 Ramadan tahun ke 40 setelah Nabi Muhammad dilahirkan. Rasulullah bersabda : “Lailatul Qadar dikurniakan ke atas umatku dan tidak kepada umat lain”- Hadis riwayat Anas r.a. 
Setiap malaikat mendoakan umat yang bermunajat, itulah kelebihan umat Muhammmad antaranya diampunkan dosa-dosanya pada malam Lailatul-Qadar belum pernah terjadi kepada umat lain sebelum ini. Membaca satu ayat al-Quran pada malam Lailatul-Qadar lebih disukai oleh Allah berbanding membaca seluruh al-Quran hingga khatam pada malam-malam lain.
Disamping doa dan harapan kita umat Islam untuk mendapat kesejahteraan hidup, rezeki yang berkat, ilmu yang bernafaat, kesihatan yang baik dan sebagainya tiada hijab untuk Allah menrima dan memakbulkannya. Melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya iaitu:-

1.      Orang yang kekal minum arak.
2.       Orang yang derhaka kepada ibubapanya.
3.       Orang yang memutuskan silaturahim.
4.       Orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih 3 hari.


Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. “Sesiapa menghidupkan (Beribadat sepanjang malam) malam Lailatul-Qadar dan mendirikan sembahyang dua rakaat, kemudian memohon keampunan daripada Tuhannya, maka diampunkan dia oleh Allah Taala dan di masukkan kedalam rahmatNya, kemudian disapukan dia oleh Jibril a.s. dengan dua sayapnya. Barangsiapa disapu oleh Jibril dengan sayapnya maka didalam syurgalah tempatnya…..”.
Apabila berakhirnya bulan Ramadhan , menangislah wali-wali Allah, menagislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala malaikat kerana berlalu pergi bulan itu. Berlalulah segala kelebihannya:

1.       Bulan yang dilipatgandakan pahala dan ganjaran.
2.       Bulan yang mudah Allah ampunkan taubat hamba-hambaNya.
3.       Bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke semesta alam dan
4.       Bulan yang terdapat padanya MALAM LAILATUL-QADAR!


Friday, August 12, 2011

RAMADAN DATANG LAGI

KELEBIHAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.